Bab 54
Keutamaan
Menangis Kerana Takut Kepada-Allah Ta'ala Dan Kerana Rindu PadaNya
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan orang-orang yang
beriman itu sama meniarap dengan dagunya sambil menangis dan al-Quran itu
menambah ketundukan mereka." (al-lsra': 109)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Adakah dari pembicaraan - al-Quran -
ini engkau semua menjadi hairan, lalu engkau semua ketawa dan tidak
menangis?" (an-Najm: 59-60)
445. Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya:
"Nabi s.a.w. bersabda kepadaku: "Bacakanlah al-Quran untukku."
Saya berkata: "Ya Rasulullah, apakah saya akan membacakan al-Quran itu,
sedangkan ia diturunkan atas Tuan?" Beliau s.a.w. bersabda: "Saya
senang kalau mendengarnya dari orang lain."
Saya lalu membacakan untuknya surah an-Nisa',
sehingga sampailah saya pada ayat- yang ertinya: "Bagaimanakah ketika Kami
datangkan kepada setiap ummat seorang saksi dan engkau Kami jadikan saksi atas
ummat ini?" - Surat an-Nisa' 41.
Setelah itu Rasulullah s.a.w. lalu bersabda:
"Sudah cukuplah bacaanmu sekarang." Saya menoleh kepada beliau
s.a.w., tiba-tiba kedua mata beliau itu meleleh airmatanya." (Muttafaq
'alaih)
446. Dari Anas r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. berkhutbah, tidak pernah saya mendengar suatu khutbah
pun yang semacam itu -kerana amat menakutkan. Beliau s.a.w. bersabda:
"Andaikata engkau semua dapat mengetahui
apa yang saya ketahui, nescaya engkau semua akan ketawa sedikit dan menangis
banyak-banyak." Anas berkata: "Maka para sahabat Rasulullah s.a.w.
sama menutupi mukanya sendiri-sendiri dan mereka itu menangis
terisak-isak." (Muttafaq 'alaih)
Keterangannya telah lampau dalam bab: Takut.
447. Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan masuk neraka seseorang yang
menangis kerana takut kepada Allah sehingga susu itu dapat kembali ke teteknya
- menunjukkan suatu kemustahilan. Tidak akan berkumpullah debu fi-sabilillah
itu* dengan asap neraka Jahanam."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
448. Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada tujuh macam orang yang akan
dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan
naunganNya sendiri - yakni hari kiamat, iaitu imam - kepala atau pemimpin -
yang adil. Pemuda yang membesar -sejak kecilnya - dalam beribadat kepada Allah,
orang yang hatinya tergantung - sangat memerhatikan -kepada masjid-masjid dua
orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan
sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula, orang
lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas cantik,
lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah," -
demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti
di atas, juga orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan
sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang
dinafkahkan oleh tangan kanannya dan orang yang mengingat pada Allah di waktu
keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya." (Muttafaq
'alaih)
Maksudnya ialah berjihad memerangi musuh
agama Allah sewaktu-waktu untuk mengharapkan keredhaanNya.
449. Dari Abdullah bin asy-Syikhkhir r.a.,
katanya: "Saya mendatangi Rasulullah s.a.w. dan beliau sedang
bersembahyang dan dari dadanya itu terdengar suara bagaikan mendidihnya kuali
kerana beliau sedang menangis."
Hadis hasan shahih yang diriwayatkan oleh
Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dalam asy-Syamail dengan isnad yang shahih.
450. Dari Anas r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Ubay bin Ka'ab r.a., demikian:
"Sesungguhnya Allah Azzawajalla menyuruh
padaku supaya saya bacakan untukmu ayat ini - ertinya: "Tidaklah akan
dapat meninggalkan orang-orang kafir dari ahlul-kitab dan musyrik itu - akan
kepercayaannya yang sesat - sampai datang kepada mereka keterangan yang jelas.
"Albayyinah" 1-8. Ia berkata: "Apakah Allah menjelaskan namaku
pada Tuan?" Beliau s.a.w. bersabda: "Ya." Kemudian Ubay r.a.
menangis." (Muttafaq 'alaih)
Dalam sebuah riwayat lain disebutkan:
"Maka Ubay mulai menangis." - Ubay adalah seorang dari golongan
sahabat Anshar.
Keterangan:
Sebabnya Ubay r.a. menangis ialah kerana
terharu hatinya, gembira bercampur rasa takut kepada Allah Ta'ala, kerana
merasa masih kurang kebaktian serta ketaatan yang dilakukan olehnya. Ada pun
rasa terharunya itu di antaranya disebabkan kerana dalam surat
"Albayyinah" bahagian terakhir dijelaskan bahawa orang-orang semacam
sahabat Ubay r.a. itu amat diredhai oleh Allah Ta'ala dan orang itu pun
benar-benar sudah redha kepadaNya. Manakala seseorang itu telah diredhai oleh
Allah, maka tiada lain tempatnya di akhirat nanti, kecuali syurga.
451. Dari Anas r.a. pula, katanya: "Abu
Bakar berkata kepada Umar radhiallahu 'anhuma sesudah wafatnya Rasulullah
s.a.w.: "Mari kita bersama-sama berangkat ke tempat Ummu Aiman untuk
menziarahinya, sebagaimana halnya Rasulullah s.a.w. juga menziarahinya."
Ketika keduanya sampai di tempat Ummu Aiman, lalu wanita ini menangis. Keduanya
berkata: "Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Tidakkah engkau ketahui
bahawasanya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk Rasulullah
s.a.w." Ummu Aiman lalu menjawab: "Sesungguhnya saya tidaklah
menangis kerana saya tidak mengetahui bahawasanya apa yang ada di sisi Allah
itu lebih baik untuk Rasulullah s.a.w., tetapi saya menangis ini ialah kerana
sesungguhnya wahyu itu telah terputus - sebab Nabi s.a.w. telah wafat."
Maka ucapan Ummu Aiman menggerakkan hati kedua sahabat itu untuk menangis.
Kemudian keduanya itu pun menangis bersama Ummu Aiman.
Hadis di atas sudah disebutkan dalam bab:
Menziarahi orang-orang ahli kebaikan - lihat Hadis no. 359.
452. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma,
katanya: "Ketika sudah sangat geringnya Rasulullah s.a.w., lalu ditanyakan
padanya siapa yang akan menjadi imam shalat. Beliau s.a.w. lalu bersabda:
"Perintahkanlah pada Abu Bakar, supaya ia bersembahyang menjadi imam
orang-orang banyak!" Aisyah radhiallahu 'anha berkata: "Sesungguhnya
Abu Bakar itu adalah seorang lelaki yang lemah, jikalau membaca al-Quran, maka
bacaannya terkalahkan oleh tangisnya - sehingga bacaannya tidak jelas."
Beliau s.a.w. lalu bersabda lagi: "Perintahkanlah pada Abu Bakar supaya bersembahyang
sebagai imam!"
Dalam lain riwayat disebutkan: Dari Aisyah
radhiallahu 'anha, katanya: "Saya berkata: "Sesungguhnya Abu Bakar
itu apabila mengganti kedudukan Tuan - sebagai imam, ia tidak dapat
memperdengarkan suaranya kepada orang-orang banyak sebab tangisnya."
(Muttafaq 'alaih)
453. Dari Ibrahim bin Abdur Rahman bin 'Auf,
bahawasanya Abdur Rahman bin 'Auf r.a. diberi hidangan makanan, sedangkan waktu
itu ia berpuasa, lalu ia berkata: "Mus'ab bin Umair itu terbunuh -
fi-sabilillah. Ia adalah seorang yang lebih baik daripada-ku, tetapi tidak ada
yang digunakan untuk mengafaninya - membungkus janazahnya - kecuali selembar
burdah. Jikalau kepalanya ditutup, maka nampaklah kedua kakinya dan jikalau
kedua kakinya ditutup maka nampaklah kepalanya. Selanjutnya untuk kita sekarang
ini dunia telah dibeberkan seluas-luasnya - banyak rezeki. Atau ia berkata:
"Kita telah dikurniai rezeki dunia sebagaimana yang kita terima ini - amat
banyak sekali. Kita benar-benar takut kalau-kalau kebaikan-kebaikan kita ini
didahulukan untuk kita sekarang - sejak kita di dunia ini, sedang di akhirat
tidak dapat bahagian apa-apa." Selanjutnya ia lalu menangis dan makanan
itu ditinggalkan. (Riwayat Bukhari)
454. Dari Abu Umamah, iaitu Shuday bin 'Ajlan
al-Bahili r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Tiada sesuatupun yang lebih dicintai
oleh Allah Ta'ala daripada dua titisan dan dua bekas. Dua titisan itu ialah
titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang dialirkan fi
sabilillah. Adapun dua bekas iaitu bekas luka fi-sabilillah dan bekas dalam
mengerjakan kefardhuan dari beberapa kefardhuan Allah Ta'ala - semacam bekas
sujud dan lain-lain."
Diriwayatkan Imam Tirmidzi dan ia mengatakan
bahawa ini adalah Hadis hasan.
Dalam bab ini masih banyak lagi Hadisnya, di
antaranya ialah Hadisnya al-'Irbadh bin Sariyah r.a., katanya: "Kita semua
diberi nasihat oleh Rasulullah s.a.w., iaitu suatu nasihat yang semua hati
dapat menjadi takut kerananya dan mata pun dapat melelehkan airmata." Hadis
ini telah lalu dalam bab: Melarang kebid'ahan-kebid'ahan - lihat Hadis no. 157
dan 171.
Dikutip dari kitab Riyadhus Shalihin (Taman-taman Orang-orang Shalih) oleh Imam An Nawawi [Kitab 1]
Tidak ada komentar:
Posting Komentar